KUANTAN: Rakaman video aksi seorang pekerja pembersihan yang sanggup menyelam dalam air kotor dan menjijikkan ketika melakukan kerja-kerja membersihkan longkang tersumbat menyentuh perasaan banyak pihak.

Video berdurasi 15 saat yang dimuat naik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang melalui Facebooknya mendapat reaksi positif netizen.

Paparan video berkenaan meraih perhatian warga maya hingga mendapat 31,000 tontonan dan rata-rata meluahkan rasa terharu dan tersentuh melihat pengorbanan pekerja pembersihan tersebut yang disifatkan sebagai wira tidak didendang.

Chun Kuang berkata, kerja-kerja membersihkan longkang tersumbat itu dilakukan pekerja syarikat penyelenggara jalan, Roadcare Kuantan di Jalan Industri Semambu 6 dekat sini kira-kira jam 1.30 petang pada Khamis.

Menurutnya, secara kebetulan dia melalui kawasan itu dan melihat beberapa pekerja pembersihan sedang membersihkan longkang tersumbat dalam keadaan cuaca hujan lebat.

"Saya singgah menemui mereka ketika itu dan terkejut apabila melihat pekerja terlibat tiba-tiba menyelam dalam lubang kecil dipercayai sebahagian struktur longkang di jalan itu.

"Airnya amat kotor dan berwarna hitam dipercayai kesan minyak hitam, namun pekerja itu sanggup menyelam bagi mengeluarkan sampah yang tersekat yang menjadi punca limpahan air di laluan berkenaan," katanya.

Chun Kuang berkata, ketika kerja-kerja pembersihan itu, ada dua pekerja yang menyelam, namun dia hanya sempat merakam aksi salah seorang daripada mereka.

"Saya sendiri terharu dan tersentuh melihat pengorbanan mereka yang sanggup bergelumang air kotor demi khidmat mereka untuk keselesaan orang ramai.

"Saya bagaimana pun menasihati mereka agar lebih mengutamakan keselamatan ketika melakukan kerja-kerja berisiko itu," katanya.

Beliau berkata, walaupun pekerja pembersihan dipandang rendah segelintir pihak, masyarakat harus sedar impak besar pekerjaan kotor itu terhadap keselesaan dan kesejahteraan orang ramai.

"Hargai jasa dan pengorbanan mereka. Paling penting amalkan kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata," katanya. - Sinar Harian