KUCHING: Cadangan mempertimbangkan pemberian vaksin jenis Sinovac kepada kanak-kanak berumur tiga sehingga 17 tahun di Sarawak merupakan satu langkah tepat mempertingkatkan imuniti kelompok di negeri itu.

Bagaimanapun, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Helmy Hazmi berkata, keselamatan penerima vaksin harus diutamakan.

Ia bagi mengelak kesan sampingan buat mereka yang dijangkiti COVID-19 dan mempunyai penyakit komorbid.

"Saya bersetuju jika vaksin dapat diberikan kepada golongan yang berusia 12 tahun ke atas dengan syarat kita pastikan keselamatannya. Isunya ketika ini adalah apabila ada kejadian radang jantung atau mild pericarditis yang berlaku kepada remaja yang menerima vaksin MRNA.

"Malah, risiko untuk mendapat radang otot juga adalah 13 hingga 24 kali ganda bagi mereka yang dijangkiti COVID-19.

"Oleh itu kita perlu melihat kepada penggunaan vaksin seperti di China yang menggunakan Sinovac untuk kanak-kanak berusia 3 tahun dan ke atas. Saya pasti ada panel yang meneliti data-data yang membolehkan vaksin ini (Sinovac) diberikan kepada kanak-kanak,’’ katanya.

BACA: Vaksin remaja: Usaha Sarawak memperluas imuniti kelompok

BACA: Sarawak dalam usaha beri vaksin kepada individu 12 hingga 17 tahun - Abang Johari

Terdahulu, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) Sarawak sedang mempertimbang untuk menggunakan vaksin jenis Sinovac untuk kanak-kanak berumur tiga hingga 17 tahun.

Penasihat JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, vaksin Sinovac boleh digunakan untuk menyokong penggunaan vaksin Pfizer BioNTech dalam program vaksinasi itu.

Bagaimanapun, Sarawak perlu menunggu kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).