PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan langkah interim segera dengan menempatkan penguat kuasanya di tujuh pintu masuk negara di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah tersebut merupakan antara enam inisiatif yang dilaksanakan oleh KPDN dalam usaha membanteras ketirisan melibatkan barangan kawalan dan bersubsidi.

Jelas beliau, penempatan serta-merta pegawai-pegawai berkenaan dilaksanakan sehingga penubuhan Single Border Agency (SBA), sekali gus memperkukuhkan penguatkuasaan di pintu masuk sempadan.

Jelas beliau, sepanjang tempoh tersebut pegawai penguat kuasa KPDN akan menggunakan tiga peruntukan iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122); Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332); serta Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

“Dengan adanya penempatan pegawai KPDN serta-merta di tujuh pintu masuk ini mereka akan dapat melihat sendiri dan seterusnya memberikan respons kepada penguatkuasaan di peringkat ibu pejabat.

“Jangan risau, kita tidak akan tambah ‘layer’ dan bincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) senarai agensi (yang terlibat).

“Tiada tambahan ‘layer’ dan kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sempena lawatan kerja rasmi, di sini.

Dalam masa sama, Armizan berkata KPDN juga akan memperluaskan skop pelaksanaan Ops Tiris 3.0 kepada barangan kawalan lain.

Ia termasuk gula putih bertapis, minyak masak bungkusan polibeg 1kilogram (kg), tepung gandum, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

Ujarnya, bagi bagi tujuan tersebut, penguatkuasaan ke atas  Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 yang  melarang mana-mana orang untuk mengeksport apa-apa barang kawalan tersenarai di bawah Jadual Pertama akan dikuatkuasakan secara menyeluruh di semua pintu masuk sempadan negara.

Selain itu, menurutnya kerjasama dengan agensi penguatkuasaan di sempadan  negara akan diperkukuhkan bagi meningkatkan kawalan aktiviti penyeludupan barang kawalan dan bersubsidi.

"Pada masa sama, KPDN akan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) Kes Penyerahan Agensi daripada agensi-agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan kelancaran  proses penyiasatan dan pendakwaan kes melibatkan ketiga-tiga akta di bawah kawal selia KPDN.

"Selain itu, kita melaksanakan pengauditan terhadap pemborong-pemborong diesel, pemegang permit barang kawalan, bunkering dan syarikat-syarikat pengeksport bagi mendapatkan butiran sumber bekalan, pengedaran dan penjualan," katanya lagi.