KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) perlu memperkenalkan silibus pensijilan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih fleksibel dengan tempoh pengajian lebih singkat.

Pensyarah Kanan, Fakulti Teknikal dan Vokasional Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Ridzwan Che Rus berkata industri ketika ini bergerak pantas dan memerlukan tenaga mahir segera.

“Kita ada syarikat ketiga teratas di dunia dalam teknologi dron di Malaysia, tetapi untuk mendapatkan tenaga kerja mahir, program yang kita bangunkan menetapkan keperluan enam bulan untuk tamat latihan.

“Sedangkan industri mahu sehari selepas mereka memulakan perusahaan. Di sinilah ada jurang. Maka MQA dan JPK sudah sedar.

“Tetapi kita perlukan tadbir urus baharu untuk pembangunan silibus baharu yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan industri hari ini seterusnya boleh menghasil graduan dalam masa yang cepat,” katanya dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.

Jelasnya sistem ketika ini hanya mampu melahirkan tenaga kerja mahir dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun hingga dua tahun.

Menurut Ridzwan tempoh latihan tersebut terlalu lama dan tidak boleh bergerak seiring dengan keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh industri.

“Kita tak mampu menyediakan tenaga kerja dalam masa yang singkat. Contohnya, Sapura Engineering hendak buka kawasan industri di Lumut, sebagai contoh, dan memerlukan 7,000 hingga 8,000 pekerja.

“Sedangkan tenaga kerja yang sedang kita latih memerlukan masa setahun hingga dua tahun untuk sempurnakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 atau diploma. Di situ kita lihat terdapat satu jurang,” tambahnya.