Perkhidmatan awam di Malaysia dan Singapura mempunyai peranan penting dalam merealisasikan aspirasi kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

"Kami melibatkan diri, berunding dan akhirnya menyelesaikan masalah kedua-dua negara secara baik sambil mendapat manfaat bersama," katanya pada program Sukan Perkhidmatan Awam ke-39 dan Seminar Bersama ke-8 bagi Pemimpin Perkhidmatan Awam Singapura dan Malaysia di sini hari ini.

"Ini dapat dilakukan kerana hubungan rapat kami, kesefahaman dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya.

Turut hadir Ketua Perkhidmatan Awam Singapura Tan Sri Peter Ong, setiausaha-setiausaha tetap, ketua setiausaha dan para pegawai kanan dari Singapura dan Malaysia.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean menyampaikan ucapan alu-aluan kepada semua peserta.

Ali berkata Malaysia dan Singapura telah menikmati kejayaan berterusan dalam membangunkan negara hasil daripada kerjasama erat antara dua negara.

"Perdana menteri kami sering memberi penekanan terhadap hubungan istimewa ini dan keperluan untuk sentiasa memeliharanya supaya ia boleh berkembang lebih kukuh berbanding sebelum ini," katanya.

Menurut beliau, acara tahunan itu membolehkan pegawai-pegawai kanan daripada kedua-dua pihak berkongsi pengetahuan, maklumat dan bertukar-tukar pandangan berhubung isu kepentingan dan kebimbangan bersama dalam suasana yang lebih santai dan tidak formal.

Seminar Bersama diadakan setiap tahun dan dihoskan secara bergilir-gilir oleh Malaysia dan Singapura.

Seminar yang pertama kali diadakan pada 2008 di Malaysia itu bertujuan antara lain, untuk bertukar idea dan kemajuan dalam sektor awam.

Ali turut menekankan bahawa kini menjadi satu tugas yang semakin mencabar untuk menyokong, memudahkan dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Rakyat hari ini mengharapkan proses dan perkhidmatan daripada kerajaan yang lebih cekap dan fleksibel, justeru Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) merupakan cara Malaysia bertindak balas terhadap cabaran ini, katanya.

Pada dasarnya, Ali berkata NBOS memecahkan silo antara agensi kerajaan serta membawa idea baharu dan kreatif dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat dengan kos yang rendah, berimpak tinggi dan kaedah pelaksanaan yang cepat.

Bagi melengkapkan NBOS, Ali berkata beberapa strategi digital untuk memanfaatkan inisiatif sedia ada dan mewujudkan peluang baharu dalam ekonomi digital telah dirancang.

"Pelan Strategik ICT sektor awam Malaysia diharapkan menggunakan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) ke arah mengutamakan rakyat dan Pendekatan Perkhidmatan Awam di seluruh kerajaan," katanya.

Dalam jangka masa panjang, Ali berkata Pelan itu akan menyediakan perkhidmatan dalam talian yang lancar kepada rakyat, perniagaan dan kerajaan menerusi perhubungan perkhidmatan awam.

"Sosial, mudah alih, analisis dan data besar, keterbukaan radikal serta amanah atau kerajaan S.M.A.R.T kini merupakan enjin transformasi utama kerajaan yang akan mengubah perkhidmatan awam kepada lebih dinamik dan responsif.

"Perkhidmatan awam kami akan membuat satu rangka kerja menyeluruh yang membolehkan pendekatan dalam talian untuk melengkapkan dasar dan program sedia ada, memupuk minda media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia, pegawai-pegawai, meningkatkan data terbuka dalam kalangan agensi, menggalakkan perkongsian data antara agensi dan memanfaatkan analisis data besar," katanya.

Ali turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan Malaysia kepada Teo yang menghadiri Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru yang pertama diadakan di Putrajaya Ogos lepas. - Bernama