IPOH: Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah disyaki Methamphetamine bernilai kira-kira RM400,000 di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya besar di Bercham di sini semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua yang berusia antara 40 hingga 61 tahun itu ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dalam operasi khas kira-kira pukul 2.20 petang.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki seorang daripada lelaki itu menemukan satu guni plastik mengandungi 10 bungkusan plastik berisi peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine dianggar seberat 10.4 kilogram.

"Jumlah dadah yang dirampas boleh digunakan lebih kurang 20,000 penagih. Mereka dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada seorang warga asing di wilayah utara negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri, hasil saringan air kencing mendapati seorang daripada lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.

Beliau berkata polis akan memohon reman hari ini untuk membolehkan ketiga-tiganya membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan pelucuthakan harta juga diambil terhadap suspek utama dalam kes ini di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan sebuah kenderaan bernilai RM12,000 dan wang tunai sebanyak RM2,200," katanya.

-- BERNAMA