KUALA TERENGGANU: Pas berpuas hati dengan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia merupakan persetujuan bersama parti komponen dalam PN.

"Bagi kami tidak timbul isu tak puas hati sebab memang dirunding di peringkat awal... ini persetujuan bersama untuk setiap parti bertanding... sebagai satu team.

"Walaupun jumlah kerusi itu masing-masing parti tapi kita akan duduk sebagai satu team bersama.  Sebab itu kita bertanding atas tiket PN bukan atas tiket parti masing-masing," katanya di sini, hari ini.

Ditanya sama ada hubungan Muafakat Nasional (MN) akan terjejas dengan keputusan Pas, Tuan Ibrahim tidak mengulas sebaliknya menegaskan MN tidak berdaftar sebagai parti politik.

"Sebab MN tidak berdaftar. Bagi kami MN ialah satu medan besar untuk penyatuan ummah. Ya bukan hanya sekadar untuk pilihan raya sahaja… ia gagasan ia ialah penyatuan ummah yang bukan hanya untuk pilihan raya.

"Pilihan raya mesti parti berdaftar dan sebab itu Pas bertanding atas tiket PN sebab kena berdaftar," katanya.

Terdahulu BN membuat keputusan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan UMNO bertanding di 20 kerusi, MCA (tujuh) dan MIC (satu).

PN turut mengumumkan bertanding di 28 kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 15 kerusi, Pas (lapan) dan Gerakan (lima).