KUALA LUMPUR: Tiga program Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN), INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC), Bimbingan Pembangunan Produk dan Bimbingan Keuntungan Menu berjaya meningkatkan hasil jualan 221 usahawan sehingga RM3.1 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh Omar menjelaskan, 54 peratus peserta turut mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20 peratus melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi berkenaan di bawah kawal selia kementeriannya.

"Pecahan peningkatan hasil jualan ini terbahagi kepada tiga iaitu, RM2.5 juta daripada 78 peserta Program IBBC, RM246,000 daripada 84 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM318,000 adalah daripada 59 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu.

"Usahawan tidak boleh sentiasa merasa selesa dengan prestasi perniagaan mereka dalam keadaan semasa yang kian mencabar.

"Usahawan dinasihatkan untuk menjadikan KUSKOP sebagai rujukan utama dalam usaha mengembangkan perniagaan kerana kementerian ini telah menyediakan pelbagai inisitiaf untuk membantu usahawan, termasuklah kepada belia yang baru ingin memulakan perniagaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

BACA: INSKEN buka peluang kolaborasi bersama pengasas produk 

Terdahulu, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Suriani Ahmad merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN di Shah Alam, Selangor.

Secara keseluruhan, 221 usahawan yang bergraduasi telah mengikuti lapan program bimbingan INSKEN dan lima daripadanya melalui hasil kolaborasi bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, peningkatan hasil jualan itu dapat dilihat kerana setiap usahawan yang menyertai program bimbingan agensinya diwajibkan untuk memasukkan rekod hasil jualan mereka setiap bulan melalui Aplikasi IPro.

"Bimbingan yang diberikan serta rekod hasil jualan ini juga telah membantu 18 usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil.

"58 usahawan telah menambah stock keeping unit (SKU) baharu selepas mengikuti Program Bimbingan Produk dan 25 usahawan daripada Program Bimbingan Keuntungan Menu telah meningkatkan penggunaan medium penghantaran makanan.

"Manakala 41 pekerjaan baharu dicipta melalui Program IBBC yang sekali gus dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran di kalangan masyarakat negara ini," jelasnya.

Sementara itu, peserta terbaik Program IBBC, Siti Raihana Japar yang menjalankan perniagaan bakeri mencatat mencatat 179 peratus peningkatan hasil jualan selepas tamat bimbingan selama empat bulan.

Menurutnya, pelbagai strategi yang diperolehi daripada Program IBBC telah dipraktikkan seperti memperkemas kanvas model perniagaan, pengurusan kewangan, pengiraan kos dan penetapan harga produk yang berpatutan.

Berkongsi kisah kejayaan sama, peniaga kes dan pastri, Nor Hidayah Radzli berjaya meningkatkan 221 peratus hasil jualan berjaya sekali gus menjadikan beliau antara peserta cemerlang bagi Program Bimbingan Pembangunan Produk.

Nur Amira Buang yang menjalankan perniagaan Yong Tau Fu pula adalah peserta terbaik bagi Program Bimbingan Keuntungan Menu kerana berjaya mencatat kenaikan hasil jualan sebanyak 515 peratus.

Kedua-dua program bimbingan itu dijalankan selama tiga bulan dengan pelbagai modul seperti latihan asas, bengkel lanjutan, dua kali latihan dan tiga sesi coaching one-on-one bersama pakar industri.