KUALA LUMPUR: Proton membuat penghantaran pertama ke Afrika Selatan selepas menandatangani perjanjian untuk melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di negara itu pada April.

Stok penghantaran itu terdiri daripada model Proton X50, Proton X70 dan Proton Saga.

Menurut Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu, penghantaran ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi Proton pada tahun ini.

“Afrika Selatan merupakan pasaran yang matang dengan banyak pesaing, namun beliau yakin ketiga-tiga model yang ditampilkan mempunyai kombinasi ciri-ciri dan nilai untuk wang untuk bersaing di sana.

“CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran mereka dan kami merancang untuk melancarkan model kami pada akhir suku ketiga tahun ini.

“Pada minggu lepas, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama PROTON serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Bagi suku pertama tahun ini, jumlah keseluruhan eksport bertambah sebanyak 175% berbanding tempoh yang sama pada 2021.

Kadar penumbuhan itu dijangka akan terus naik kerana syarikat mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300% dengan operasi pemasangan tempatan (KD) akan terus diperluaskan.

Bagi tiga tahun sebelum ini, Proton telah menambah pegangan jumlah bagi kenderaan eksport Malaysia dari 12.8% pada tahun 2019, ke 30.2% pada 2020 dan 61.0% pada 2021 walaupun berdepan halangan akibat pandemik COVID-19.