KUALA LUMPUR: Ada kemungkinan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak sempat didaftarkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akui Pengerusi Interimnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun begitu, Ahli Parlimen Langkawi itu berpandangan, Pejuang masih boleh menentukan gabungan mana yang bakal menerajui Putrajaya, selepas keputusan pilihan raya ditentukan.

Dan beliau berkata, sokongan Pejuang hanya akan diberikan jika syarat-syarat yang parti itu tetapkan, dapat dipenuhi mana-mana gabungan yang berhasrat untuk menjadi kerajaan Persekutuan.

“Pejuang tidak mungkin jadi kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi kerajaan. Sokongan Pejuang hanya jika syarat Pejuang diterima,” katanya dalam catatan terbaharu di blog beliau bertajuk ‘PRU15’.


Dalam pada itu, Dr Mahathir mendakwa, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, percaya Perikatan Nasional akan memenangi PRU15 kerana sudah membuat persiapan dengan secukupnya.

Menurut beliau lagi, keyakinan itu adalah berdasarkan faktor bendera dan sepanduk sudah ditempah dan agihan kawasan antara Bersatu, Pas serta UMNO sudah dirunding.

“Bagi Muhyiddin hanya terdapat satu masalah yang belum diselesai. Muhyiddin berharap tidak ada parti lawan yang akan bertanding. Dengan ini Perikatan Nasional akan menang tanpa bertanding.

“Untuk ini Muhyiddin boleh menentukan supaya parti musuh tidak akan didaftar. Ia bermula dengan Pejuang. Jika Pejuang tidak didaftar maka parti ini tidak akan dapat bertanding sebagai parti Pejuang. Mungkin calon Pejuang terpaksa bertanding sebagai calon bebas,” katanya lagi.

Jika itu berlaku, Dr Mahathir berkata, calon-calon bebas tersebut tidak dapat mengguna simbol dan bendera Pejuang sekali gus akan mengelirukan golongan pengundi.

Jika Pejuang terpaksa menggunakan nama parti lain seperti PKR, berkemungkinan besar parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak akan memberi banyak kawasan, termasuk sokongan kepada Pejuang, dan akhirnya menyebabkan partinya kalah.

Selain Pejuang, Dr Mahathir berkata, parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga akan menerima nasib yang sama.

“Tetapi Bersatu yang sekarang sudah jadi parti berbilang kaum tidak mungkin menang banyak. Dengan itu parti Perikatan Nasional dan BN dan Muafakat akan pilih orang lain sebagai Perdana Menteri.

“UMNO dan Pas memberi jawatan PM kepada Muhyiddin dahulu (selepas kejatuhan Pakatan Harapan) kerana mereka hanya boleh jadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai Muafakat,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, senario politik yang berlaku selepas PRU15, tidak mungkin berbeza dengan sekarang, namun apa yang pasti, ujarnya lagi, Muhyiddin tidak mungkin menjadi Perdana Menteri.