Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat perlanggaran peraturan dalam kejadian tiang dan kerangka bumbung yang dalam pembinaan runtuh, menyebabkan tiga maut di Lorong Perusahaan Maju 8 di Juru, di sini pada Jumaat.

Dalam kenyataannya hari ini (Sabtu), DOSH Pulau Pinang berkata pihaknya telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sebelum mengambil tindakan undang-undang.

"Berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berlaku semasa pekerja sedang memasang c-chanel pada bahagian kerangka bumbung tersebut menggunakan mesin angkat," menurut kenyataan itu.

BACA: Kerangka bumbung runtuh: MPSP arah henti kerja pembinaan

DOSH Pulau Pinang telah mengarahkan semua kerja pembinaan bagi projek itu dihentikan serta-merta dan menyerahkan dua notis larangan serta satu notis penambahbaikan kepada kontraktor pembinaan atas kesalahan menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.

Menurut kenyataan itu, menjadi tanggungjawab majikan dan pekerja untuk memastikan keselamatan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Dalam kejadian 4.20 petang Jumaat, enam pekerja dilaporkan terperangkap selepas ditimpa runtuhan tiang dan kerangka bumbung dengan tiga daripada mereka ditemukan maut manakala tiga lagi cedera parah.

Warga tempatan P. Kumar, 46, dan lelaki Myanmar Rofi Khan, 32, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi warga Myanmar Amir Udin Abil Kasim, 20, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Siasatan awal polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kren terlanggar struktur tiang yang menyebabkan kerangka bumbung yang masih dalam pembinaan runtuh.

-- BERNAMA