Pakatan Harapan (PH) dijangka akan menamakan calon menteri besar dan ketua menteri di setiap negeri dalam masa terdekat.

Demikian menurut Naib Presiden Salahuddin Ayub yang berkata pengumuman itu merupakan salah satu tanda kesepakatan yang dicapai dalam gabungan tersebut.

"Satu lagi tahap yang kita rasa boleh selesaikan dalam beberapa minggu lagi, mungkin di setiap negeri kita menamakan calon-calon menteri besar atas nama Pakatan Harapan.

"Itu kejayaan yang saya rasa Pakatan berjaya kemukakan kepada rakyat, satu keberanian yang menunjukkan kita punya solidariti dan juga kesatuan.

"Juga keupayaan kita membuat keputusan bersama atas isu-isu penting tadi," katanya kepada Astro AWANI mengulas situasi semasa berhubung pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang dijangka tidak lama lagi.

Pada 8 Mac lalu, Pakatan Harapan melancarkan manifesto PRU14 yang menjanjikan 10 agenda, termasuk antara lain, meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan itu.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, calon menteri besar dan ketua menteri yang akan diumumkan itu melibatkan semua negeri kecuali Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak.

BACA: Manifesto Pakatan Harapan hadkan tempoh PM kepada dua penggal

BACA: Manifesto Pakatan Harapan praktikal, bukan populis - Saifuddin

BACA: Manifesto PH populis tetapi strategik - Penganalisis


Bagi Selangor dan Pulau Pinang, katanya, penyandang jawatan sedia ada akan dikekalkan kerana telah berjaya membuktikan keupayaan masing mentadbir negeri dengan baik.

Manakala di Sarawak, PRU14 akan datang tidak melibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) sepertimana di negeri-negeri lain.

"Pulau Pinang dan Selangor hampir kita tidak sentuh sangat, kerana negeri-negeri ini telah membuktikan satu urus tadbir yang baik dan satu kekuatan yang dibina atas Pakatan Harapan," tambah Salahuddin.

Sebelum ini, Pakatan Harapan telah menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika mereka berjaya memenangi PRU14.

Selain itu, gabungan empat parti pembangkang itu juga telah berjaya menubuhkan satu struktur dengan pelantikan pengerusi, presiden, timbalan presiden dan naib presiden - sesuatu yang tidak pernah dilakukan ketika ia dikenali sebagai Pakatan Rakyat sebelum ini.