KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella, dipaksa memakan 20 biji cili padi beberapa kali dalam seminggu.

Arahan itu dikeluarkan oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Menurut saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, remaja OKU berusia 13 tahun itu juga sering dimarahi dan diugut disimbah dengan air panas sekiranya tidak mendengar cakap.

Tidak cukup dengan itu, saksi pendakwaan juga menyatakan Bella akan ditendang di perut jika menjerit sewaktu menerima suntikan ketika menerima rawatan.

Mengulas lanjut, Yasmin mendakwa jumlah cili padi yang diberikan kepada Bella juga telah dikira oleh salah seorang penghuni rumah tersebut yang dikenali sebagai 'Aida'.

Mahkamah Sesyen pada Rabu diberitahu, Siti Bainun mendera remaja itu setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Siti Bainun bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Bella juga dikatakan terpaksa curi-curi untuk meminum air selain Yasmin juga mengakui terpaksa melakukan perbuatan sama terhadap remaja itu.

Yasmin juga mendedahkan, Siti Bainun telah mengarahkan dirinya untuk memasak lima ketul ayam mentah yang busuk untuk diberikan kepada Bella dengan beberapa campuran lain.

"Ketika itu bulan puasa, Bella tidak makan nasi sebab dah kenyang kerana curi makan makanan kering dan minum. Dia tidak dibenarkan makan dan minum sesuka hati.

"Siti Bainun balik malam. Bila Siti Bainun tahu Bella curi makan dan minum, dia suruh Bella habiskan nasi tabur cuka, cili, garam, kunyit dan kicap," katanya.

Dalam pada itu, Yasmin sendiri memaklumkan, pernah menjadi mangsa kekerasan Siti Bainun apabila dilempang beberapa kali oleh pengasas rumah kebajikan terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Jumaat.