PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima 1.28 juta permohonan bagi lantikan tetap untuk jawatan pengurusan dan profesional serta pelaksana, menerusi Sistem Pendaftaran Pekerjaan (SPA9) secara dalam talian tahun lepas.

Pengerusi SPA Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata daripada jumlah itu, 20,762 pemohon telah dilantik bagi mengisi kekosongan jawatan tetap mengikut kelayakan masing-masing.

"Proses memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam ini telah dijalankan sepenuhnya secara digital sejak 2017.

"Apabila digital, tiada istilah 'guna kabel' sebab sistem yang dibangunkan ini sudah tentu tidak akan menipu," katanya pada Majlis SPA Bersama Media di sini hari ini.

Pada 16 Mac lepas, Zainal Rahim dilaporkan berkata peralihan sepenuhnya ke sistem permohonan secara digital merupakan kaedah terbaik dan telus bagi menepis persepsi penggunaan 'kabel' bagi mengisi jawatan perkhidmatan awam yang didakwa sesetengah pihak.

Bermula 2017, permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam adalah menerusi Borang Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) sebelum digantikan dengan SPA9 pada September 2020.

Mengenai lantikan kontrak, beliau berkata 27,163 pemohon telah dilantik ke pelbagai jawatan berstatus kontrak, antaranya Pegawai Perubatan Gred UD41, Pegawai Pergigian Gred UG41 dan Pegawai Farmasi Gred UF41.

Berkongsi statistik tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap penjawat awam atas pelbagai kesalahan, beliau berkata jumlah tindakan yang direkodkan menurun kepada 51 pada 2022, berbanding 117 pada 2020.

Tanpa mendedahkan jumlah, beliau berkata kesalahan 'paling popular' yang menyebabkan penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib ialah ponteng kerja.

"Ada yang tidak hadir (ponteng kerja) sehari, kemudian berlanjutan hingga tujuh hari malah berpuluh hari. Kes begini, hukuman rendah kita bagi surat amaran, kalau tidak patuh, kita akan kenakan tindakan turun pangkat atau tamatkan perkhidmatan," katanya.

Mengenai salah laku jenayah rasuah, Zainal Rahim mencadangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyerahkan laporan terbabit kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan, memandangkan JPA mempunyai jawatankuasa khas bagi kesalahan rasuah.

Beliau mengulas pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki seperti yang dilaporkan pada 9 Mei lepas bahawa beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka walaupun pihaknya mengesyorkan untuk mengambil tindakan.

-- BERNAMA