Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang konstabel wanita semalam selepas disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM6,000, pada Ogos 2017.

Sumber SPRM berkata konstabel itu yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai disyaki meminta suapan sebagai balasan untuk mempercepatkan proses melepaskan seorang individu yang ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada Ogos 2017.

Menurutnya konstabel berusia 24 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kelantan di Lundang pada jam 9 malam selepas keterangannya diambil.

Suspek diperintah ditahan reman lima hari bermula hari ini (Isnin) oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan konstabel wanita itu.

-- BERNAMA