SUBANG: Kerja-kerja mitigasi susulan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong, sedang dijalankan seawal jam 4 pagi Ahad, kata Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan.

Beliau berkata, setakat ini pihak kontraktor yang melakukan projek tersebut di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, akan memasang 375 cerucuk besi di kawasan terlibat, bagi mengukuhkan kembali struktur tanah.

“Untuk proses mitigasi, pihak MPSJ dan Pejabat Daerah menggunakan kaedah steel piling iaitu cerucuk keluli besi akan dimasukkan di kawasan runtuhan.

"Kerja-kerja bermula jam 4 pagi tadi, dan dilaporkan mengikut kontraktor akan recover kawasan 150 meter yang mungkin akan gunakan 375 cerucuk untuk hadkan pergerakan tanah dan sebagainya.

“Antara tindakan lain daripada jabatan-jabatan lain yang berkaitan, seperti Air Selangor telah menutup bekalan air kerana paip itu pecah susulan pergerakan tanah, jadi mereka tutup sumber air tersebut," katanya lagi.

Kerja-kerja mitigasi bermula jam 4 pagi Ahad

Mengenai kemas kini semasa, Anbalagan berkata, kejadian tanah runtuh itu melibatkan kawasan sepanjang 50 meter dan selebar 60 meter, dengan kedalaman tiga meter, berdasarkan taklimat Jabatan Mineral dan Geosains Selangor.

Beliau berkata setakat ini kejadian tersebut melibatkan sembilan buah rumah, dan semua penghuni diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing.

“Pihak Pejabat Daerah dan MBSJ telah menempatkan mereka di satu pusat pemindahan sementara, tetapi hanya satu keluarga terdiri daripada lapan orang telah berpindah ke PPS tersebut.

“Lapan lagi penghuni telah berpindah ke rumah saudara atau rakan mereka. Dan kawasan di sini seperti mana kita tahu tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku, cuma daripada segi aset ada empat kenderaan saja dilaporkan telah terhumban masuk ke tanah runtuh,” katanya lagi.