PUTRAJAYA: Tindakan komprehensif kerajaan untuk menyalurkan bantuan subsidi kepada beberapa sektor, dilihat sebagai perlu, biarpun jumlah pemberian subsidi sehingga RM77 bilion setakat ini, adalah tertinggi dalam sejarah negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, jika pemberian subsidi itu tidak dilakukan, kadar inflasi negara berkemungkinan besar akan meningkat sehingga 11 peratus.

Sewaktu berucap di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di Putrajaya pada Ahad, Ahli Parlimen Jeli itu berkata, Malaysia ketika ini masih dengan kadar inflasi terendah di rantau ASEAN.

"Jika tiada bantuan subsidi, sekurang-kurangnya kita akan mencapai kadar inflasi sehingga 11.4 peratus berbanding sekarang iaitu 3.4 peratus. Dengan adanya subsidi RM77 bilion, paling tinggi ialah (perbelanjaan) petroleum.

"Lebih separuh daripada jumlah keseluruhan subsidi (RM38.8 bilion), adalah untuk petroleum sahaja... oleh kerana itu harga RON95 masih lagi RM2.05, manakala diesel sehingga 2.15 sen. Walaupun di pasaran antarabangsa sudah melebihi RM4,” katanya lagi

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangannya bertajuk Keluarga Malaysia Menangani Cabaran Ekonomi, sempena simposium Keluarga Malaysia - Pencapaian Dan Harapan.

Dalam pada itu Mustapa berkata, suku kedua menyaksikan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melonjak sehingga 8.9 peratus, menjadikan ia terbaik di rantau ini.

Katanya lagi, beberapa petunjuk utama ekonomi, seperti jumlah perdagangan, perdagangan borong dan runcit, nilai jualan sektor pembuatan, aliran masuk pelaburan asing, dan penurunan kadar pengangguran, kesemuannya menunjukkan tanda positif.

Namun, Mustapa berkata, kerajaan tidak boleh leka, dan terus berusaha menjalankan dasar ekonomi yang terbaik, memandangkan akan ada cabaran lebih hebat untuk negara pada 2023, baik domestik atau global.

"Kita dah bekerja sebagai satu pasukan dipimpin Perdana Menteri. Kita telah berjaya tangani krisis kesihatan, ekonomi, dan tanda tanda pemulihan ekonomi sudah ada. Dalam pada itu kita akui di luar sana di peringkat global banyak cabaran, dan tahun depan banyak lagi cabaran yang akan menimpa dunia.

“Yang penting kita sebagai satu Keluarga Malaysia perlu kita bersatu padu, pastikan kerajaan dapat terus berikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat, melindungi kehidupan rakyat, pastikan food on the table, and no one is left behind. Itu antara prinsip kita sedang lakukan,” katanya lagi.