Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba, jadi hambar bagi seorang peniaga kedai runcit apabila empat insan yang disayangi termasuk isteri tercinta hilang dalam sekelip mata setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 161 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) pagi tadi.

Bagi Mazlan Mohd Rashid, 54, walaupun perit untuk diterima, namun dia terpaksa reda dengan takdir, sambil berdoa agar roh isteri dan tiga anaknya ditempatkan bersama orang beriman.

Mazlan yang ditemui di luar Unit Forensik Hospital Jengka di sini berkata isteri dan lima anaknya bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu membeli barangan keperluan untuk persiapan sempena Syawal.

"Kali terakhir isteri menghubunginya pada jam 11 malam tadi ketika mereka baru hendak bertolak pulang ke rumah di Taman Gemilang, Bandar Cheneh Baru, dekat Kemaman, selepas selesai membeli belah.

BACA: Maut selepas beli-belah hari raya

BACA: Empat termasuk tiga wanita maut kemalangan di LPT


Mazlan tidak mampu menahan rasa sedih apabila saudara mara dan sahabat taulan tidak putus-putus menziarahinya di Unit Forensik untuk menyampaikan ucapan takziah. Suasana di situ sesekali bertukar hiba.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi tadi, isteri Mazlan, Azian Abdullah, 50; dan anak-anaknya Fatin Najwa, 27; Fatin Nur Adriana, 15; dan Mohamad Danish Najmi, 10, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka sekeluarga terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan.

Mazlan berkata, dua lagi anaknya iaitu Mohd Shahrul Ikhram, 20; dan Fatin Nur Athirah, 19, turut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

"Anak sulung saya (Fatin Najwa) baharu tamat pengajian di sebuah universiti swasta dalam bidang kejuruteraan dan dia dalam perancangan untuk memulakan kerjayanya,

"Anak bongsu saya (Mohamad Danish Najmi) sebelum pergi ada berpesan supaya menjaga kucingnya dan memberi makan. Saya tidak akan lupakan permintaannya," katanya.

Mazlan berkata, kesemua mereka akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Bandar Baru Cheneh, Kemaman hari ini selepas selesai proses bedah siasat.

-- BERNAMA