KUALA LUMPUR: Malaysia akan meneruskan pemerolehan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pilihan vaksin lain seperti vaksin Sinovac juga akan diberi pertimbangan untuk pemberian vaksin terhadap golongan tersebut.

"82.4 peratus daripada remaja (12-17 tahun) telah diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 62 peratus telah lengkap dua dos.

"Ini bermakna pembukaan semula sekolah dengan selamat.

"Dengan Panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat mengesyorkan vaksin Pfizer untuk 5 hingga 12 tahun, Malaysia juga akan meneruskan pemerolehan Pfizer untuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian melalui ciapan di laman media sosial Twitter, pada Khamis.

Khairy bagaimanapun belum memperincikan bilakah pemberian vaksin COVID-19 akan mula diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun itu.


Pada Selasa lalu, panel FDA mengesyorkan vaksin Pfizer-Biontech COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun dengan menyatakan manfaat suntikan itu melebihi risikonya.

BACA: Vaksin COVID-19: Panel FDA sokong Pfizer untuk kanak-kanak 5-11 tahun

Malaysia telah memulakan pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun pada 20 September lalu.

Setakat Khamis, remaja yang telah melengkapkan vaksin mencecah 62 peratus atau 1,951,450 daripada populasi tersebut.

Manakala seramai 82.4 peratus atau 2,592,048 mendapat sekurang-kurangnya satu dos.