AYER KEROH: Seorang penolong pengurus wanita di sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) direman empat hari berhubung kes menerima suapan berjumlah RM18,000 bagi penganjuran konsert Double Trouble 2 Search x Barbarik, tahun lalu.

Perintah tahanan reman terhadap suspek yang berusia 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hasni selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek ditahan kira-kira jam 4 petang semalam selepas diminta hadir ke pejabat SPRM Melaka di Alai bagi membantu siasatan.

Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai urusetia telah membantu seorang pengarah syarikat mendapatkan kelulusan bagi geran di bawah agensi dari KKD berjumlah RM300,000.

Suspek yang kini sedang hamil dua bulan dipercayai menerima komisyen antara 10 hingga 20 peratus berjumlah RM18,000 daripada pengarah syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan reman berkenaan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.