IPOH: Seorang wanita warga Indonesia dihukum denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan (MyKad) palsu, bulan lepas.

Tertuduh, Rosyidah Hanafi Salleh, 45, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan kali kedua di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Ketika pertuduhan dibacakan kali pertama, tertuduh berkata dia tidak faham pertuduhan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter bahagian kad pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara, di Ipoh, jam 10.30 pagi, 18 Mac lalu, atas nama Rosyidah Binti Hanafi.

Dia didakwa di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Jabatan Pendaftaran  Negara, Mohd Hisam Saruddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.