HULU LANGAT: Jangan 'naik kepala'!

Itu amaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin kepada etnik Rohingya termasuk mereka yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap tindakan pengemis kanak-kanak dari etnik berkenaan yang bersikap kasar seperti yang tular baru-baru ini.

Tegasnya, semua orang tidak kira warganegara atau sebaliknya, perlu mematuhi undang-undang ditetapkan ketika mereka berada di Malaysia, tiada yang terkecuali.

BACA: Pengemis etnik Rohingya: Polis siasat, kumpul maklumat siapa dalang - Timbalan KPN

“Saya sudah hampir dua tahun berjuang untuk memastikan mereka yang mempunyai kad UNHCR (dan) faham akan kedudukan mereka. Mereka bukan rakyat, mereka hanya duduk di sini sebagai pelarian.

“Kena faham bahawa Malaysia bukan negara yang akan menjadi ‘cemeteries’ kepada pelarian kerana kita hanya membantu. Jadi atas sifat perikemanusiaan itu kita cuba membantu sebaik mungkin tapi jangan sampai naik kepala.

“Bila 'naik kepala', saya nak maklumkan bahawa saya adalah Menteri Dalam Negeri yang tidak suka sesiapa sahaja 'naik kepala' kepada undang-undang yang ada. Kita akan lakukan sesuatu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Program Mekar Prihatin Pasca Banjir anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Taman Sri Nanding, di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, Malaysia bersimpati dengan nasib menimpa etnik tersebut, namun, mereka tidak boleh menimbulkan masalah sehingga mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.


Pengemis Rohingya | Polis jangka mungkin wujud sindiket terancang

“Sesiapa sahaja kalau nak duduk dalam negara ini, dia kena ikut undang-undang. Kalau mereka tidak mengikut undang-undang, boleh diambil tindakan, itu pasti.

“Betul, kita simpati kepada golongan berkenaan tetapi mereka tidak boleh sehingga menimbulkan masalah contohnya aktiviti meminta sedekah di lampu isyarat sehingga memaki hamun, perkara itu tak sepatutnya berlaku dalam negara ini.

“Jadi kita cuba untuk mengajar semua pihak yang mahu duduk di sini supaya faham ini adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang yang harus diikuti oleh semua,” ujarnya.

Baru-baru ini, tular video memaparkan kanak-kanak etnik Rohingya meminta sedekah daripada pemandu kenderaan di jalan raya sekitar ibu negara.

Lebih membimbangkan, mereka dikatakan bukan hanya meminta sedekah malah mengeluarkan perkataan tidak sesuai selain mengetuk kenderaan orang awam ketika meminta sedekah.