Kementerian Luar yakin tidak akan timbul apa-apa masalah dalam hubungan dua hala Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berikutan pendedahan rakaman perbualan antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan seorang pembesar negara itu, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Wisma Putra mempunyai cara untuk menghubungi pihak atau mengambil tindakan berkaitan bagi menjelaskan keadaan jika timbul isu.

"Saya rasa tak akan timbul apa-apa masalah ...bila timbul perkara begini kami akan menghubungi dan menyampaikan maklumat serta menerangkan apa-apa yang berlaku," katanya ketika ditanya sama ada pendedahan rakaman audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu akan menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang akademik, kebudayaan dan penyelidikan, di sini pada Khamis.

Turut hadir Pro Canselor UiTM Tan Sri Dr Arshad Ayub dan Timbalan Canselor Profesor Emeritus Datuk Ir Mohd Azraai Kassim.

Saifuddin berkata Wisma Putra telah mengambil langkah proaktif dengan mengarahkan Duta Malaysia ke UAE Mohd Tarid Sufian menghubungi Kementerian Luar negara berkenaan untuk memaklumkan perkara tersebut serta memberi penerangan sekiranya pihak berkenaan ingin mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu.

Mengenai kerjasama antara Wisma Putra dan UiTM, Saifuddin berkata ia akan menggalakkan kerjasama dalam bidang diplomasi awam, penghasilan bahan kreatif multimedia, program latihan dan pertukaran maklumat penyelidikan antara kedua-dua pihak.

Beliau berkata kerjasama itu adalah situasi menang-menang dengan lebih banyak peluang terbuka untuk pelajar UiTM melakukan latihan praktikal dan pensyarah dapat menjalankan program dalam bidang hubungan antarabangsa, serta Wisma Putra mendapat manfaat untuk melihat calon diplomat daripada universiti.

"Selain itu, kita ada Program Persarjanaan Diplomat iaitu pegawai kita yang balik daripada 'posting' dan ia mengambil masa dua atau tiga tahun sebelum 'another posting'.

"Jadi kita galakkan mereka buat ijazah lanjutan secara sambilan dan UiTM boleh menjadi salah satu tempat untuk mereka membuat ijazah lanjutan atau kursus pendek yang bersesuaian dengan keperluan Wisma Putra," katanya.

-- BERNAMA