KUALA LUMPUR: Institusi atau pusat jagaan merupakan pilihan terakhir dalam memastikan anak-anak yatim atau yatim piatu mendapat pembelaan dan perlindungan yang sewajarnya.

Pakar psikologi dan kaunseling dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata ahli keluarga terdekat merupakan sistem sokongan terbaik kepada mereka.

"Jika, saya ulangi, jika anak-anak ini tidak ada pilihan atau mempunyai keluarga yang tidak lengkap dan tidak dapat memberi sokongan terbaik, maka adalah lebih baik diletakkan di institusi.

"Contohnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada Taman Seri Puteri (TSP) dan Rumah Tunas Harapan (RTH).

"Di rumah ini, mereka mempunyai satu pendekatan yang lebih kondusif untuk anak-anak ini hidup dengan tenaga pengajar dan pegawai pelindung kanak-kanak yang sangat baik dan terlatih oleh JKM," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan media yang mendedahkan sejumlah 1,517 pelajar di seluruh negara disahkan menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat kematian salah seorang ibu bapa atau kedua-duanya sekali akibat virus COVID-19.


Cerita Sebalik Berita: Nasib anak-anak kematian ibu bapa akibat COVID-19

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, angka direkodkan antara Mac tahun lalu sehingga Ogos itu disifatkan amat mendukacitakan dan perlu diambil langkah pembelaan sewajarnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzil berkata sistem pendidikan terutama di sekolah perlu menyediakan sokongan sewajarnya kepada anak-anak ini.

Ia termasuk sokongan oleh para guru terutama guru kaunseling dan rakan-rakan sebaya yang positif dalam menangani keperitan hidup dilalui mereka.

"Tingkah laku mereka apabila pergi ke sekolah, mereka mesti ada satu sistem untuk belajar di secara bersemuka yang hampir sempurna seperti pelajar-pelajar normal yang lain.

"Sekiranya mereka dilindungi di rumah dan mempunyai ahli keluarga terdekat, keluarga ini boleh menyediakan sistem sokongan dalam bentuk kebajikan," katanya.

Memetik laporan itu, KPM turut menubuhkan pasukan khas iaitu Kebajikan Murid Guru di peringkat kementerian bagi memastikan tindakan dan bantuan segera disalurkan kepada golongan terbabit.

Malah, kementerian mengambil inisiatif membuka penempatan kepada kanak-kanak yang memerlukan perlindungan akibat COVID-19 di tujuh institusi mengikut zon seluruh negara.

Institusi itu adalah di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka, TSP Cheras, Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka, RKK Mini Kelantan, TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching sebagai penempatan kanak-kanak sama ada secara sementara atau tetap.