Penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi akan tetap dilaksanakan sebelum kertas undi diberikan kepada pengundi untuk memilih pada hari pilihan raya nanti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bahawa ini adalah mengelakkan dari sebarang permasalahan berlaku

“Kita telah bermesyuarat dan meneliti perkara ini dan kita telah membuat ketetapan untuk melaksanakannya sebelum kita menyerahkan kertas undi kepada pengundi,” kata Abdul Aziz.

Menurutnya, perkara ini harus dilaksanakan sedemikian rupa kerana mereka mendapati kemungkinan-kemungkinan permasalahan yang bakal berlaku.

“Calitan dakwat kekal pada jari setiap pengundi adalah mandatori dan tiada kompromi. Jika ianya dilaksanakan selepas pengundi membuang undi mereka, dikhuatiri akan banyak terjadinya permasalahan,” katanya kepada pemberita ketika melawat proses undian awal di pusat pembuangan undi di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur pagi tadi.

Antara permasalahan yang dijangka akan berlaku ialah keengganan pengundi untuk mencalit jari mereka menggunakan dakwat kekal selepas mereka membuang undi dan terdapat juga kemungkinan pengundi yang telah membuang undi ini akan melarikan diri dari pusat pengundian tanpa perlu jari mereka dicalit dengan dakwat kekal itu.

Beliau menjawab persoalan orang ramai yang timbul berhubung mengapa calitan dakwaan kekal itu dilakukan sebelum kertas undi diberikan.

Jari yang akan dicalitkan dengan dakwat kekal itu akan menggunakan berus dan bukannya dicelup terus kedalam dakwat tersebut.

“Jika jari mereka dicelup ke dalam dakwat tersebut, ianya akan mengotorkan kertas undi tersebut dan segala perkara ini telah pun disemak dan dikaji sedalamnya,” beliau berkata.

Dakwat yang dicalitkan pada jari akan serta merta kering dalam beberapa saat dan tandanya akan kekal di jari sekurang-kurangnya tujuh hari dari hari selepas mengundi itu.

Seramai 1,075 anggota polis yang mendiami di Pulapol melakukan proses undi awal pada hari ini.

Undian dilakukan pada di pusat pengundian di Dewan Bankuet Pulapol bermula pada jam 8 pagi sehingga 7 malam.

Komandan Pulapol, SAC Zulkifli Mohamed berkata proses perjalanan undi pada waktu sangat menggalakkan namun masih ramai lagi yang belum mengundi.

“Pengundi-pengundi ini terdiri dari anggota-anggota dan bekas polis yang tinggal atau menggunakan Pulapol sebagai alamat pengundian mereka. Sesetengah dari mereka mungkin sedang bertugas dan akan datang untuk membuang undi pada sebelah petang,” kata Zulkifli.