KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai simbol politik lama yang akan membawa Malaysia ke belakang.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, generasi baru pemimpin muda Melayu dalam partinya akan memastikan bahawa meraikan kepelbagaian kaum akan menguatkan lagi negara ini.

Beliau turut menegaskan bahawa orang Melayu tidak akan menjadi lemah jika dilaksanakan sistem meritokrasi, sebaliknya, akan menjadikan generasi baharu orang Melayu yang lebih berdaya tahan.

"Daripada memecah belahkan Malaysia berdasarkan warna kulit, bangsa, dan agama yang mereka lahirkan, kita harus fokus untuk menyatukan rakyat Malaysia.

"Kita tidak sepatutnya melihat ke belakang pada perbezaan sejarah lampau, sepatutnya kita lihat ke hadapan dalam apa yang menyatukan kita sebagai satu rakyat dan satu negara," katanya.

Syed Saddiq berpendapat, Malaysia kehilangan banyak potensi akibat politik lama yang memecah belahkan kaum.

Sementara itu, Syed Saddiq mengumumkan, MUDA melancarkan inisiatif Muda Hustle dalam usaha mengumpul dana bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, usaha tersebut dilakukan kerana partinya bukan sebahagian mana-mana kerajaan negeri.

Katanya, ia akan dilakukan 100 peratus secara maya menerusi platform media sosial dengan bermula menjual otak-otak Muar secara dalam talian diikuti oleh pimpinan yang lain.

"Usaha ini bukan dijalankan oleh saya sahaja, tetapi turut membabitkan pemimpin MUDA dan akar umbi lain di setiap kawasan memandangkan parti ini perlu mencari wang untuk deposit dan kempen PRN nanti.

"Setiap seorang ahli akan membabitkan diri tanpa menggunakan kos yang tinggi dan wang akan disalurkan kepada akaun parti.

"Apabila kita mempunyai kewangan yang baik, kita boleh fokus dalam memajukan Malaysia dan menawarkan parti ini sebagai semak dan imbang kepada mereka yang berkuasa di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri," jelasnya.

Tambahnya, MUDA sudah biasa melaksanakan inisiatif seperti ini dalam usaha meraih dana dan yakin usahanya akan membuahkan hasil.