Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub hari ini mengesahkan debat antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan pada Jumaat 7 April nanti.

Menerusi akaun Twitternya, Hussamuddin memaklumkan, debat itu akan diadakan di Dewan Karangkraf, Shah Alam pada 9.30 malam dan disiarkan secara langsung menerusi Sinar TV.

Sebelum ini, polis menolak permohonan penganjuran debat terbuka antara Nazri dan Dr Mahathir.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata permohonan berkenaan ditolak atas empat sebab iaitu lewat mengemukakan borang pemberitahuan sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 9(1) APA 2012 iaitu penganjur perlu membuat pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah 10 hari sebelum perhimpunan.

BACA: Polis tolak permohonan debat Tun Mahathir - Nazri

BACA: Nazri bidas polis, persoal mengapa tolak permohonan debat

Katanya lagi, tempat perhimpunan yang dipilih sebelum ini iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah Kuala Kangsar merupakan kawasan sekolah dan ia adalah satu tempat larangan mengikut Jadual Pertama (Seksyen 3) akta sama.

Debat yang dinanti-nantikan itu dikatakan bakal menyentuh isu berbangkit dalam negara seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).