Selepas mengumumkan keluar daripada Pas, Datuk Mahfuz Omar mengakui menerima cacian dan makian bukan sahaja daripada pengguna media sosial malah rakan yang pernah seangkatan dengannya sebelum ini.

Bagaiamanapun, beliau memilih untuk tidak mempedulikan kata-kata nista itu.

Sebaliknya, beliau dan isteri, Datin Ruswati Jaafar mengubat segala duka dengan berjumpa cucu mereka di Durian Tunggal, Melaka hari ini.

"Cucu saya yang berusia enam bulan ini jadi penghibur kepada saya selepas dihambur cacian dan makian.

"Saya akan tinggal di Melaka ini dalam tiga atau empat hari dan meluangkan masa dengan anak dan cucu saya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.


Cucu kedua Mahfuz yang diberi nama Maisara Sofea Suhaimi itu merupakan anak sulung kepada Siti Nur Syahidah, iaitu anak kedua Mahfuz yang turut mengambil langkah sama seperti bapanya semalam.

Jelas Mahfuz, selain kata-kata nista, beliau mengakui turut disindir oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dianggap seperti 'ayam betina bertelur'.

"Cacian dan makian ini bukan setakat netizen tetapi juga orang dalaman Pas sendiri termasuk pimpinan Pas kawasan yang memegang gelaran PhD.

"Tuan Ibrahim juga sindir saya cakap harumanis, ayam betina bertelur. Lantak mereka la.

"Saya doakan semua mereka yang caci maki saya sentiasa dalam rahmat Allah SWT," katanya.

BACA: Selepas keluar Pas, Mahfuz tetapkan tempoh 'idah' sebulan

BACA: Mahfuz disaran letak jawatan ahli parlimen, dikhuatiri gajinya haram

Tuan Ibrahim dalam reaksinya terhadap keputusan Mahfuz itu berkata: "Harumanis bila dah busuk, dia jatuh sendiri dan pada waktu itu sekupang pun orang tak tak mahu beli. Jangan jadi seperti ayam betina, bila bertelur dia sendiri terkejut dengan telurnya, riuh sekampung. Namun tiada siapa pun peduli kecuali jenis ayam juga."

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengumumkan untuk meninggalkan Pas selepas lebih 20 tahun berada dalam parti itu.

Berdasarkan isi kandungan surat kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, Mahfuz berkata, pemberhentian sebagai ahli Pas berkuat kuasa 11.59 malam pada Ahad.

Bagaimanapun, Mahfuz berkata, beliau belum memutuskan parti mana yang akan disertainya.

“Jangan jadi seperti ayam betina, bila bertelor dia sendiri terkejut dengan telornya, riuh sekampung. Namun tiada siapa pun peduli kecuali jenis ayam juga,” jelas Tuan Ibrahim lagi.