KUALA LUMPUR: Dinamika politik di negara ini sukar untuk dijangka, demikian jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika diminta mengulas mengenai pandangannya berhubung politik negara ketika ini.

Ujar Ismail Sabri, beliau sendiri tidak menyangka memperoleh kerjasama daripada pihak pembangkang selepas Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani pada hari kedua beliau memegang jawatan itu Ogos tahun lalu.

"Kita tidak tahu sebab politik ini dinamik, kadang-kadang ia boleh berubah, di luar jangkaan kita.

"Siapa boleh menjangka hari kedua, saya masuk di pejabat saya di Seri Perdana, tiga pemimpin pembangkang tandatangan surat persetujuan MoU... tak ada siapa sangka, tapi ianya berlaku," katanya.

Ujar Perdana Menteri, sekiranya tiada parti mencapai majoriti dalam pilihan raya umum (PRU15) akan datang, andaiannya pelbagai perkara boleh berlaku termasuk kerjasama di antara parti politik.

BACA: PM bimbang 'Parlimen tergantung' lepas PRU15

"Selepas pilihan raya nanti, kalau tiba-tiba tidak ada parti mempunyai majoriti besar, pelbagai andaian setakat hari ini mungkin boleh berubah, tidak seperti kita andaikan.

"Perkara baru mungkin berlaku, kita pun tidak tahu," katanya lagi.

Mengimbas kembali setahun pentadbirannya, tambah Ismail Sabri, pelbagai transformasi berjaya dibawa terutamanya melibatkan kerajaan dan pembangkang.

Kesannya, jelas Perdana Menteri, kestabilan politik yang akhirnya menghasilkan pemulihan ekonomi ketika rakyat menghadapi pandemik COVID-19.

"Kesan dapat dirasai dari segi kestabilan politik dan hasil kestabilan tersebut kita dapat memulihkan ekonomi dengan lebih cepat.

"Kalau kita lihat sewaktu saya mengambil alih kepimpinan, kita sudah mempunyai dua Perdana Menteri sebelum ini. Dalam satu tempoh Parlimen lima tahun kita sudah ada dua PM, tidak pernah berlaku sebelum ni.

"Kesan daripadanya (ialah) politik tidak stabil, ia memberi kesan kepada ekonomi. Kalau saya sebagai pelabur saya tidak akan melabur dalam negara yang tidak ada kestabilan politik," jelasnya.

Bagaimanapun atas dasar Keluarga Malaysia yang diterajuinya, kerajaan hari ini, ujar Ismail Sabri, berjaya memulihkan semula negara ke landasan yang betul.

Selain ekonomi, pelbagai perubahan berjaya dibawa di Parlimen terutama membentang Pindaan Perlembagaan Antilompat Parti dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Jadi, pertama kali dalam sejarah Malaysia, pembangkang duduk bersama kerajaan bersetuju untuk membuat transformasi di Parlimen dan sebagainya.

"Kesannya apabila Pindaan Perlembagaan MA63, dibentang di Parlimen kita dapat sokongan semua pembangkang 100 peratus. Baru baru ini Pindaan Perlembagaan Antilompat Parti daripada 209 Ahli Parlimen yang hadir, 209 menyokong.

"Tidak pernah berlaku pembangkang memberi sokongan kepada kerajaan sebulat suara seperti ini. Jadi kita dapat melakukan pelbagai perubahan termasuk beberapa undang-undang mendapat sokongan majoriti," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Wawancara Khas Inspirasi Setahun Keluarga Malaysia bersama Perdana Menteri disiarkan di 501 AWANI pada Sabtu.