Wakil rakyat Pas berpendapat janji 100 hari yang didendangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengecewakan sebilangan besar rakyat di negara ini apabila banyak janji tidak tertunai seperti tempoh yang disebutkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berserah, Andansura Rabu berkata, ini kerana rakyat memberikan sokongan kepada PH ber­dasarkan tawaran yang dibuat oleh pihak-pihak yang bertanding.

Malangnya, tawaran tersebut tidak ditunaikan seperti tempoh yang dijanjikan.

“Semua tawaran yang dibuat mestilah sesuatu yang bersifat realistik dan boleh dilaksanakan. Jika tidak, ia adalah satu penipuan kepada pengundi-pengundi,” katanya.

Sementara itu, ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak pula berkata, dalam tempoh 100 hari pemerintahan, kerajaan perlu melihat sejauh mana pelaksanaan manifesto yang telah ditunaikan.

Sebagai contoh, katanya sehingga kini rakyat masih menantikan bilakah harga petrol akan diturunkan.

Menurutnya, sekiranya kerajaan menyedari bahawa manifesto itu sukar untuk dilaksanakan, kerajaan perlu memohon maaf kepada rakyat.

“Segala kelewatan sepatutnya kerajaan perlu memohon maaf kepada rakyat. Rakyat mahukan perbezaan dengan pemerintahan sebelum ini.

”Maka dalam tempoh 100 hari yang telah berlalu, PH perlu membuat kajian terhadap janji manifestonya dan sanggup memohon maaf kepada rakyat bagi manifesto yang belum terlaksana.

“Jangan ada sifat berdendam dengan kerajaan terdahulu tapi membangunkan negara untuk kesenangan rakyat,” katanya.