KUALA LUMPUR: Berdasarkan rekod terdahulu, kerjasama Pas dengan UMNO dilihat lebih menguntungkan kedua-dua parti berbanding kerjasama Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Penganalisis politik, Prof Sivamurugan Pandian berkata, hasil akhir kerjasama Pas-UMNO dilihat jauh lebih baik berbanding Pas-Bersatu yang mana sebagai parti baharu, Bersatu banyak bergantung kepada Pas.

“Kerjasama dengan UMNO pula akan memantapkan guna tenaga, logistik, infra yang hampir sama kerana kedua-duanya dilihat sebagai parti siasah. Kerjasama itu akan menampakkan strategi ampuh, licin, tersusun dan lancar boleh berlaku.

BACA: Tiga negeri bawah Pas tidak akan bubar DUN dalam masa terdekat - Abdul Hadi

"Semua ini berbalik kepada kerjasama dilakukan Pas pada Fasa Satu pada tahun 2018 hingga 2020 iaitu di bawah Muafakat Nasional (MN), bagaimana hasil akhir itu menampakkan keputusan yang menang-menang untuk UMNO dan juga Pas.

“Ia berbeza berbanding Fasa Dua iaitu pada tahun 2020 hingga 2022 antara Bersatu dan Pas yang telah menampakkan gagal (kegagalan Pas) untuk menang kerusi baik di Melaka atau Johor,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Ahad.

Tambahnya, meskipun Pas kini dilihat masih berusaha menyatukan UMNO dan Bersatu namun sekiranya usaha itu masih gagal, Pas perlu mengorbankan salah satu parti.

[TERKINI] Pas gagal pilih UMNO atau Bersatu


“Kemelut ini sekiranya berpanjangan, ia akan memberi kesan kepada Pas terutamanya di kawasan yang sedang dikuasai mereka.

“Jika pertembungan dengan UMNO berterusan, itu akan menggagalkan usaha untuk meningkatkan bilangan kerusi dan akhirnya, dalam konteks politik negara kita, ia adalah politik angka (dan Pas akan lebih terasa kerugiannya),” ujarnya.

Fokus Minggu Depan: UMNO atau Bersatu: Apa strategi Pas?


Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sebelum ini berkata parti itu berpandangan perlu ada 'keanjalan' dalam rundingan antara ketiga-tiga parti teras Melayu terbabit seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca PRU15.

Presiden Pas itu berkata ia termasuk syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan.