Ketua-ketua sayap UMNO yang baru dipilih diminta tidak bersifat eksklusif dan melihat parti untuk Melayu dan umat Islam semata-mata.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Kolej Universiti Poly-Tech MARA Kuala Lumpur, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh berkata, ia sekali gus dapat membuktikan UMNO sentiasa di landasan semangat dan perpaduan rakyat di negara ini.

"Saya berharap perancangan perubahan nombor satu adalah, ketua-ketua yang telah menang cuba mendekati rakyat, UMNO itu untuk rakyat. Kemudian mereka perlu lebih kepada buat kerja daripada bersifat retorik.

"Kedua, jangan hanya bersifat eksklusif iaitu UMNO bergerak untuk Melayu dan Islam sahaja tetapi terbuka dan sentiasa menunjukkan semangat perpaduan rakyat serta Malaysia.

"Ketiga, kerana saya merupakan penganalisis gender politik dan saya berharap Wanita dan Puteri seperti
Dr Noraini dan Zahida lebih kepada memastikan wanita dalam parti bukan sekadar penggerak parti tetapi juga sebagai pemimpin. Dr Noraini sendiri sebagai Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel, mungkin dapat menunjukkan bahawa UMNO perlu memberi tempat lebih luas dan juga menurunkan struktur tertinggi parti yang banyak didominasi oleh kaum lelaki," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Najib harap pimpinan baharu sayap UMNO dapat galas tanggungjawab

BACA:
Cabaran Wanita UMNO sebagai 'tulang belakang' parti lebih menekan - Noraini

Pemilihan sayap UMNO menyaksikan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyandang jawatan Ketua Pemuda; Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad Ketua Wanita, dan bekas Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan Ketua Puteri UMNO yang baharu.

Dalam pada itu kata Sharifah, sayap UMNO perlu membuat lebih kerjasama dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama berkenaan hak asasi dan golongan terpinggir.

"Mereka juga perlu faham kehendak masyarakat sivil dan inklusif dengan orang muda yang mahu berkhidmat dalam parti," jelasnya.