Tindakan undang-undang akan diambil terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) sekiranya mereka enggan menarik balik arahan berkenaan pemilihan semula parti MIC Isnin ini.

Kenyataan itu dibuat Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel yang mendakwa arahan ROS bercanggah dengan Akta Pertubuhan dan perlembagaan parti.

"Kami akan mengambil tindakan ini kerana arahan yang dikeluarkan RoS bertentangan dengan perlembagaan parti," kata Palanivel.

Tambahnya, arahan untuk memberi kuasa kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 bagi membentuk CWC sementara, bakal meletakkan beliau di jawatan Pemangku Presiden.

"Mereka tiada hak untuk berbuat demikian. Saya telah menang tanpa bertanding pada 2013 sebagai presiden," tegas Palanivel di sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Masalah tersebut bermula apabila ROS menghantar surat pada 5 Dis mengarahkan MIC membuat pemilihan semula bagi tiga jawatan Naib Presiden serta 23 ahli CWC dalam masa 90 hari.

Pemilihan semula tersebut akan diuruskan CWC 2009 yang akan bertindak sebagai pemegang jawatan dalam CWC sementara sehingga pemilihan selesai.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memanggil Palanivel sekali lagi minggu depan untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung krisis MIC ini.