Kerajaan Selangor menganggarkan perbelanjaan negeri pada tahun depan berjumlah RM2.42 bilion untuk melaksanakan rancangan pembangunan, kata menteri besarnya, Mohamed Azmin Ali.

Azmin seperti dilaporkan Malaysiakini, berkata jumlah kutipan hasil negeri itu juga dijangka meningkat kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.85 pada tahun 2014.

Katanya, pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor juga menganggarkan jumlah defisit yang dihasilkan ialah sebanyak RM450 juta.

"Kutipan hasil negeri Selangor bagi tahun 2015 dianggarkan meningkat 6.49 peratus kepada RM1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun 2014.

"Berdasarkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan meyakinkan, maka kerajaan negeri mencadangkan agar anggaran perbelanjaan 2015 berjumlah RM2,422,500,000 bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan kerajaan khususnya program kesejahteraan rakyat," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2015 di Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam.

Jumlah yang dibentangkan oleh Mohamed Azmin merupakan terbanyak dilakukan oleh Pakatan Rakyat di Selangor berbanding perbelanjaan yang dibentangkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin juga dilaporkan berkata, daripada jumlah perbelanjaan itu, sebanyak RM1.29 bilion (53.19%) diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.13 bilion (46.81 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan.

Pada 2014, jumlah belanjawan negeri bagi kegunaan perbelanjaan ialah sebanyak RM1.225 bilion (66.2%) manakala RM625 juta pula digunakan untuk tujuan pembangunan.