Sukan Komanwel 2018 membuka tirainya secara rasmi dalam penuh suasana meriah di Carrara Stadium di sini dengan bermandikan cahaya bunga api apabila tuan rumah, Gold Coast, mengalu-alukan kedatangan 6,600 atlet dan pegawai dari 71 negara.

Gold Coast menyajikan acara perasmian arahan Pengarah Projek dan Seni GC2018, David Zolkwer, yang turut menghasilkan karya persembahan bersempena Sukan Olimpik Athens 2004, Sukan OIimpik Beijing 2008 dan Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Acara bermula dengan kiraan detik secara ringkas, yang membawa mesej unik bagi tempat ini, sebelum kemeriahan memenuhi ruang udara dengan pancaran cahaya terang-benderang berwarna biru berbentuk kubah yang mewakili planet biru di ruang angkasa apabila kiraan detik sampai kepada '0'.

Upacara perasmian ini melibatkan 4,000 sukarelawan, yang mempunyai erti mendalam serta mewakili suatu detik penyambungan dan kewujudan semula, suatu ritual di mana pengetahuan tentang sistem totem diwariskan daripada nenek moyang dan golongan tua zaman lampau kepada golongan tua masa kini dan golongan tua zaman akan datang.

Foto Bernama
Hadirin bertepuk riang apabila kamera membawa mereka ke pentas utama stadium di mana tiga tokoh kenamaan -- Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Louise Martin, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Peter Beattie dan Presiden Sukan Komanwel Australia, Sam Coffa berdiri di tengah-tengah para atlet sebelum upacara lintas hormat dilakukan 14 atlet, yang membawa bendera temasya sukan ini musim lampau, termasuk atlet trek berbasikal Anna Meares (2014), pemain bola jaring Sharelle McMahon (Delhi 2010), atlet angkat berat Damian Brown (Manchester 2002), perenang Kieren Perkins (Kuala Lumpur 1998), atlet lari berhalangan Pam Kilborn (Edinburgh 1970) dan perenang David Dickson (Kingston 1966).

Mereka disertai atlet berbakat luar biasa, pelumba basikal acara lebuh raya berusia 19 tahun, Madeleine Fasnacht, sebagai simbol mengalu-alukan kedatangan masa depan dan Sukan Komanwel akan datang yang akan berlangsung di Birmingham pada 2022.

Penonton bersorak riang apabila Prince of Wales, Putera Charles dan Duchess Cornwall Camilla berjalan memasuki stadium dengan disambut Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull, sebelum anggota Yugambeh Elders Advisory Group mempersembahkan ' Welcome to the Country' , iaitu suatu upacara untuk menghargai dan menghormati masyarakat pribumi yang meraikan peningkatan persefahaman serta sikap saling hormat-menghormati terhadap amalan budaya.

Selepas itu, lagu kebangsaan Australia dinyanyikan dan bendera Australia dinaikkan, disusuli bendera Aboriginal and Torres Strait Islander. Ketika mereka menyanyi, imej seekor kangaroo dan emu seperti yang terdapat pada jata Australia, muncul di permukaan laman.

Foto Bernama
Walaupun hujan renyai dan cuaca sejuk, hadirin berjumlah lebih kurang 35,000 orang tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing untuk terus menikmati persembahan berlatarbelakangkan kehidupan pantai di Gold Coast serta budaya masyarakat pribumi.

Penonton juga dipersembahkan dengan kisah asal usul penduduk Gold Coast, warga pelbagai etnik yang mendiami wilayah ini, yang menekankan tentang kepentingan kekuatan serta ketahanan, manakala pengakhiran persembahan itu memperlihatkan penduduk daripada pelbagai latar belakang hidupan berkumpul dengan penuh harmoni dan bersatu padu.

Peserta persembahan terdiri daripada penyelamat dan masyarakat pribumi yang menjadi daya tarikan utama, manakala ruang tengah stadium bertukar menjadi pantai di daratan. Kanak-kanak berpakaian vest berwarna terang dan membawa papan penyelamat mengetuai atlet dari 71 negara dan wilayah Komanwel untuk masuk ke stadium.

Semasa upacara lintas hormat bagi atlet dan pegawai, Scotland, tuan rumah sebelum ini, menjadi pendahulu, diikuti negara lain mengikut rantau dalam susunan abjad, sebelum kontinjen Malaysia muncul di belakang Brunei Darussalam bagi rantau Asia.

Kontinjen Malaysia, yang diketuai chief-de-mission Huang Ying How, memakai baju kurung berwarna serta skarf bagi wanita dan 'Baju Melayu' berserta 'sampin' bagi lelaki, hasil ciptaan pereka fesyen terkenal Malaysia, Cosry. Atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail diberi penghormatan menjadi pembawa bendera, diikuti 147 atlet dan pegawai, yang akan terlibat dengan pertandingan yang bermula esok.

Bagi edisi tahun ini, kontinjen Malaysia dibarisi 178 atlet dan 95 pegawai. Sukan Komanwel yang akan berlangsung selama 11 hari ini akan mempertandingkan 275 acara yang disertai 6,600 atlet dari 71 negara.

Selepas persembahan ringkas yang menggambarkan perjalanan Queen's Baton melalui beberapa tempat menarik di Gold Coast, baton itu, yang mengandungi perutusan Ratu Elizabeth, diarak di sekeliling stadium oleh enam atlket ikonik sebelum diserahkan kepada Putera Wales, Putera Charles, yang membacakan perutusan tersebut.

Dalam perutusan itu, baginda Ratu bertitah bahawa temasya sukan Komanwel boleh menjadi alat berkesan untuk mewujudkan keharmonian antara masyarakat serta menyatupadukan manusia melalui semangat persahabatan dan persaingan.

"Jarang terdapat peluang untuk kita saling berhubung seperti ini dan temasya sukan ini memberi peluang kepada kita untuk merenung tentang impian serta cita-cita yang menemukan kita sebagai sebuah keluarga Komanwel.

"Ia mengingatkan kita bahawa walaupun kita mungkin tinggal berjauhan antara satu dengan lain, namun kita dekat dari segi semangat, nilai dan persahabatan," titah baginda.

Selepas itu, persembahan bunga api menerangi ruang angkasa Carrara Stadium dan hadirin mengeluarkan telefon pintar masing-masing untuk merakam gambar detik penuh bersejarah itu.

-- BERNAMA