Jaringan masa tambahan oleh Andre Schurrle dan Mesut Ozil cukup untuk membawa Jerman ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2014 setelah menewaskan Algeria dengan jaringan 2-1 di Estadio Beira-Rio di Porto Alegre awal pagi tadi.

Kemaraan Jerman walau bagaimanapun tidak diberi laluan mudah oleh wakil Afrika ini yang mengheret perlawanan hingga ke masa tambahan setelah terikat tanpa jaringan sehingga 90 minit perlawanan.

Algeria yang cuba untuk menempatkan diri di peringkat suku akhir setelah satu lagi wakil Afrika, Nigeria tumbang kepada Perancis di minit-minit akhir perlawanan dalam satu lagi perlawanan sentiasa mengekang asakan bertubi-tubi Jerman yang dikemudi oleh penjaring terbanyak negara itu, Thomas Muller.

Jerman
EPA/ARMANDO BABANI

Kerapuhan pertahanan Jerman menyebabkan pasukan jolokan ‘Fennec Foxes’ kendalian Vahid Halihodzic ini sering membuat hantaran jauh sebagai serangan balas untuk mencipta gol.

Namun, ketumpulan serangan Algeria yang dikemudi oleh Islam Slimane dan pemain tengah, Sofiane Feghouli gagal membuahkan sebarang jaringan.

Jerman juga turut mencipta banyak peluang melalui cubaan berbahaya daripada Thomas Muller dan Bastian Schweinsteiger namun masih gagal menghadirkan gol dek ketangkasan penjaga gawang Algeria, Rais M’Bolhi yang sentiasa dapat membaca gerakan pemain-pemain Jerman.

Tamat 90 minit dan peluang kedua-dua pasukan kemudian dilanjutkan ke masa tambahan dan baru dua minit masa tambahan berlangsung, penyerang Chelsea, Andre Schurrle meledak dengan jaringan pertama Jerman untuk mengukuhkan kedudukan Jerman di hadapan.

Mesut Ozil
Mesut Ozil - AFP PHOTO / PATRIK STOLLARZ

Namun, gol kemenangan yang dicari Jerman hanya muncul pada minit 120 babak kedua masa tambahan apabila Mesut Ozil yang berjaya melepasi pertahanan Algeria cuba mengumpan bola kepada Andre Schurrle yang merembat ke gol.

Rembatan itu bagaimana pun berjaya ditampan oleh pertahanan Algeria di saat penjaga gol, Raids M’ Bolhi sudah pun tertewas dan bola singgah di kaki Ozil semula yang tanpa membuang masa merembat untuk kali kedua dan gagal diselamatkan oleh pemain Algeria.

Algeria berjaya meneruskan sisa perjuangan dengan memperoleh gol seminit selepas itu melalui Abdelmoumene Djabou namun ianya sudah terlambat.

Meskipun Algeria tersingkir, pujian harus diberikan kepada pemain negara itu yang mampu menyekat asakan pemain Jerman sehingga mengheret permainan ke masa tambahan.

Dengan kemenangan ini, Jerman akan bertemu Perancis di peringkat siku akhir di Estadio do Maracana, Rio de Janeiro pada Jumaat ini.

PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Rais M’Bolhi (Algeria)