KUANTAN: Sebanyak RM2.35 juta diperuntuk bagi menaik taraf Stadium Darul Makmur di sini yang meliputi fasiliti dan persekitarannya pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata peruntukan itu juga akan digunakan bagi mengadakan sambutan jubli emas stadium berkenaan, yang terletak di pusat bandar di sini, pada 2023.

"Buku dengan kandungan sejarah dan transformasi stadium perlu disediakan dan dilancar sempena sambutan jubli emas.

"Ini bertujuan supaya peristiwa bersejarah sejak Stadium Darul Makmur mula dibangunkan akan terus diingati terutama oleh generasi muda," katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan Pahang 2023 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat mengaktifkan semula sukan ekuestrian menerusi peruntukan RM1.5 juta melalui Majlis Sukan Pahang untuk membaik pulih Kompleks Ekuestrian di Tanjung Lumpur di sini dan penganjuran sukan itu di peringkat kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula berkata pembinaan sejumlah 242 menara komunikasi di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) dijangka siap secara berperingkat sehingga pertengahan tahun depan.

Beliau berkata projek menaik taraf 902 stesen pemancar sedia ada di negeri itu ke rangkaian 4G telah selesai manakala penaiktarafan rangkaian jalur lebar tetap bagi 88,144 premis sudah selesai setakat ini dan kerja-kerja di sejumlah 30,116 premis sedang dilaksana.

Katanya kesemua 69 kampung Orang Asli di Pahang juga telah selesai dipasang Internet jalur lebar teknologi satelit pada April lepas.

Mohammad Fakhruddin berkata kerajaan negeri turut membiayai projek perkhidmatan Internet menggunakan teknologi satelit di 50 kawasan kampung dan pedalaman dikenali sebagai Pahang Rural Internet Services and Multimedia Access (PRISMA PAHANG) bernilai RM3 juta yang akan memberikan perkhidmatan secara percuma untuk tempoh 12 bulan bermula bulan ini.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA