Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan maut selepas menggantung dirinya sendiri setelah dikatakan cuba meniru salah satu babak daripada sebuah program jenayah yang disiarkan di kaca televisyen.

Lapor media tempatan, polis memaklumkan mayat kanak-kanak malang ditemui tergantung di rumah salah seorang rakannya di Hapur, dalam negeri Uttar Pradesh di India pada Selasa.

Lebih malang, rakan-rakan mangsa yang menjadi saksi kejadian tidak memaklumkan kepada sesiapa pun mengenai perkara itu, sebaliknya bertindak melarikan diri kerana ketakutan.

Selepas mayat ditemui, salah seorang daripada kanak-kanak terbabit memberitahu polis, "Mangsa datang ke rumahnya dalam keadaan menangis kerana dimarahi.

"Mereka kemudiannya menonton rancangan jenayah terbabit sebelum mengambil keputusan bermain watak ‘polis dan penjenayah'. Mangsa kemudiannya menggantung dirinya secara tidak sengaja sewaktu permainan itu.”

Siasatan polis kemudiannya mengesahkan kejadian.

“Kanak-kanak itu cuba meniru satu babak daripada rancangan terbabit. Mangsa dikatakan memanjat sebuah baldi dan melilitkan selendang panjang dileher sebelum menggantung dirinya.

"Apabila rakan kanak-kanak itu melihat mangsa berkemungkinan telah meninggal dunia, mereka mengambil keputusan untuk melarikan diri. Ini satu insiden yang amat malang,” kata pegawai penyiasat polis.

Ini juga adalah laporan insiden bunuh diri kedua diterima polis di kawasan itu dalam tempoh dua hari.