Perdana Menteri Britain, Theresa May mempertahankan dakwaan Rusia bertanggungjawab ke atas serangan agen saraf terhadap bekas perisik Sergei Skripal dan anaknya Yulia.

Di sebalik penafian dibuat Presiden Vladimir Putin pada Isnin, May bertegas Kremlin mempunyai kemampuan, motif dan niat untuk meracun Skripal.

May juga mendakwa serangan menggunakan agen saraf merupakan sebahagian daripada modus operandi Rusia yang diketahui di seluruh Eropah.

"Siasatan kami mendapati secara jelasnya tiada rumusan lain, melainkan Rusia bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di Salisbury," tegas May.

Britain mendakwa Rusia menggunakan agen saraf yang biasa digunakan oleh tentera untuk meracun Sergei.

Sergei dan anaknya masih kritikal di hospital sejak dua minggu lalu.

Susulan serangan itu, Britain mengusir 23 diplomat Rusia dan tindakan sama diambil Moscow.

May menjelaskan Organisasi Larangan Penggunaan Senjata Api dijangka tiba di Britain minggu depan bagi mengambil sampel agen saraf.

Polis Britain juga kini dalam proses menghubungi bekas perisik Rusia untuk berbincang isu keselamatan mereka.