Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dijangka hadir memberi keterangan berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Pasukan Siasatan Jenayah Penggubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia pada Jumaat.

Menurut sumber, Rosmah akan memberi keterangan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak pada sebelah pagi.

Namun, sumber itu tidak mendedahkan waktu sebenar Rosmah akan hadir.

Sumber berkenaan turut berkata, Rosmah diminta hadir esok (Khamis) namun ditangguhkan kepada Jumaat.

Pada 4 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya berkemungkinan memanggil Rosmah bagi mengambil keterangan melibatkan beberapa kes termasuk 1MDB.