Seorang peniaga nasi lemak terkejut apabila menemui seorang bayi perempuan ditinggalkan berhampiran gerainya di hadapan sebuah masjid awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, peniaga nasi lemak itu baru hendak memulakan perniagaannya di hadapan Masjid Kampung Check Point Jalan Apas-Balung itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, peniaga itu kemudian membawa bayi malang yang masih bertali pusat berkenaan ke balai polis sebelum dikejarkan ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati, bayi malang seberat 2.75 kilogram itu telah dilahirkan kurang dari 24 jam dan berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan," katanya yang kenyataan di sini hari ini.

Fadil menambah, polis mengklasifikasikan kes itu dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan bayi diletakkan di hospital berkenaan untuk pemerhatian selanjutnya.

Beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar dapat tampil memberikan kerjasama bagi menyelesaikan kes ini.