ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 29 November 2021.

1. PM Ismail Sabri tiba di Singapura untuk lawatan rasmi

Ketibaan beliau di Woodlands Checkpoint pada pukul 10.45 pagi disambut oleh rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong.

2. Dewan Rakyat: Ada keperluan untuk vaksinasi kanak-kanak 5-11 tahun - Dr Noor Azmi

Pembukaan sektor sosial menyebabkan kanak-kanak lingkungan umur berkenaan turut terdedah kepada COVID-19.

3. Kes pertama COVID-19 VTL Malaysia-Singapura dikesan - KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kes positif itu dikesan pagi tadi, menerusi saringan yang dijalankan di pintu masuk Malaysia.

4. Varian Omicron: KKM tingkat pengawasan genomik di pintu masuk antarabangsa

Kementerian Kesihatan (KMM) akan meningkatkan pengawasan genomik di pintu-pintu masuk antarabangsa untuk memastikan kewujudan varian baharu Omicron dapat dikesan dengan cepat.

5. Petugas Parlimen meninggal dunia akibat COVID-19 - Pengarah Kesihatan

Pejabat Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengesahkan satu kes kematian melibatkan seorang petugas Parlimen yang berusia 54 tahun dan tidak diketahui menghidap sebarang penyakit kronik sebelum ini.

6. Kailan ikan masin RM18, pemilik restoran beri penjelasan

Pemilik restoran makanan Anjung Ikan Bakar Nory di sini yang didakwa menjual sebungkus sayur kailan ikan masin sebanyak RM18 tampil membuat penjelasan mengenai harga yang dikatakan tidak setara dengan kuantiti.

7. Tiada saksi beri keterangan mereka beri suapan kepada Zahid Hamidi - Peguam

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tidak seorangpun saksi memberi keterangan bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah diberikan suapan atau terdapat unsur rasuah dalam pembayaran membabitkan Yayasan Akalbudi, yayasan kebajikan yang diasaskan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

8. Masalah 200,000 warga asing tidak bekerja di Malaysia akan selesai akhir tahun ini - Hamzah

Masalah lambakan kira-kira 200,000 warga asing tidak bekerja di negara ini yang berdaftar di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, akan diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

9. Nazri Aziz akui terima sumbangan daripada kontraktor projek terowong

Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa beliau menerima sumbangan daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang merupakan kontraktor projek terowong dasar laut serta jalan utama di Pulau Pinang.

10. Bonus khas menanti KL City FC jika julang Piala Malaysia

Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC bakal menerima bonus khas sekiranya berjaya menjulang Piala Malaysia 2021 apabila bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.