Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa bot terbalik di perairan Pulau Nunuyan pada Khamis lalu disambung jam 7 pagi ini.

Seramai 111 anggota terlibat membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, mangsa yang masih hilang ialah seorang bayi lelaki berusia satu tahun, kanak-kanak perempuan, 8 tahun, dua lelaki berumur 30 dan 38 tahun, serta seorang wanita berumur 42 tahun.

Terdahulu, katanya, 11 individu disyaki memasuki Sandakan menaiki bot pancung dari Pulau Taganak, Filipina, dan terbalik akibat keadaan laut bergelora.

"Bot mereka disyaki terbalik jam 6.30 petang, Khamis, sebelum lima mangsa selamat ditemui jam 12.15 tengah hari, Jumaat.

"Pasukan SAR kemudian menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terapung," katanya ketika dihubungi, pagi ini.

Operasi pencarian bersambung hari ini melibatkan anggota APMM, TLDM, PPM dan APM. - Foto APMM

Katanya, pasukan SAR berusaha gigih mengesan lima mangsa yang masih hilang itu selepas operasi ditangguhkan pada pukul 6.30 petang semalam.

Sementara itu, menurut kenyataan APMM Zon Sandakan, operasi hari ini melibatkan kawasan pencarian seluas 187 batu nautika persegi dan dipecahkan kepada enam sektor.

Operasi hari ini melibatkan kawasan pencarian seluas 187 batu nautika persegi dan dipecahkan kepada enam sektor. - Foto APMM

Tiga aset dikerahkan oleh APMM untuk mencari lima mangsa yang hilang dalam kejadian 6 petang Khamis lepas itu.

Menurut APMM, mangsa lelaki berumur 38 tahun itu dipercayai tekong bot yang disyaki melarikan diri.

BACA: Seorang kanak-kanak maut, lima hilang kejadian bot karam

Pukul 12.15 tengahari semalam, lima mangsa (tiga lelaki dan dua wanita) diselamatkan oleh bot tempur TLDM selepas dilihat berpaut pada bot itu yang terbalik.

Kira-kira empat jam kemudian, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai mangsa bot karam itu dijumpai kira-kira 100 meter daripada bot itu.