Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di Jalan Batu Kawa di sini.

Majistret Sataia Kombi membenarkan permohonan tersebut setelah suspek yang berusia 33 tahun dan berasal dari Johor itu hadir ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini.

Dia sebelum itu ditahan sekitar jam 5.30 petang semalam oleh sepasukan anggota siasatan jenayah IPD Padawan yang diketuai Asisten Superintendan Sofian Abu Bakar di sebuah rumah di Kampung Pinang Jawa, di sini.

Satu laporan polis dibuat oleh mangsa sendiri sekitar jam 12.45 pagi semalam di Balai Polis Batu Kawa yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh suspek, yang bertugas di Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontijen.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.10 petang pada 4 September apabila suspek yang juga kenalan keluarga mangsa untuk lebih lapan tahun berkunjung ke rumah keluarganya di Jalan Batu Kawa dan menawar diri untuk menghantar mangsa ke kedai kakaknya.

Ketika dalam perjalanan, suspek telah membuat lencongan dan membawa mangsa ke suatu tempat terpencil berhampiran Kem Pasukan Gerakan Am Batu Kawa dan melakukan serangan seksual fizikal terhadapnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.