KUALA TERENGGANU: Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun hari ini kerana melakukan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan tahun lalu.

Keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Azman Mustapha selepas tertuduh didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Tertuduh yang berusia 67 tahun itu juga diarahkan menjalani kaunseling pemulihan semasa menjalani hukuman penjara serta diletakkan di bawah pengawasan polis untuk tempoh dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia enam tahun dengan mencium mulut dan kemaluan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah taska di daerah ini antara jam 1 hingga 2 petang pada 28 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mengikut fakta kes, mangsa memaklumkan kepada bapanya yang dia tidak mahu pergi ke taska berkenaan ketika mereka dalam perjalanan kira-kira jam 7.45 pagi pada 29 Ogos 2017.

Mangsa turut memaklumkan dia selalu dicium tertuduh sebelum bapa mangsa bertanya apa lagi yang dilakukan tertuduh.

Kanak-kanak terbabit kemudiannya memaklumkan tertuduh selalu mencium mulut dan kemaluannya.

Bapa mangsa kemudian telah berjumpa dengan tertuduh untuk bertanya mengenai kejadian itu dan tertuduh mengaku melakukan perbuatan itu sebelum satu laporan polis dibuat.