Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah membabitkan nilai RM15.3 juta yang disorokkan dalam bungkusan teh dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Kedah.

Dalam serbuan di empat lokasi berbeza di Jelutong dan Kuala Nerang itu, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 306 kilogram dan menahan enam individu termasuk sepasang suami isteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, mereka yang ditahan dalam operasi bermula jam 2 petang hingga 9 malam itu berusia antara 19 dan 37 tahun.

"Dalam serbuan pertama di Jelutong, di sini polis menahan dua lelaki berumur 28 dan 37 tahun, namun tiada sebarang rampasan dadah bersama mereka sebelum menyerbu sebuah rumah lain di Kuala Nerang, Kedah dan menangkap tiga lelaki berumur 19 hingga 30 tahun.

"Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah juga di Kuala Nerang dan menahan seorang wanita berumur 30 tahun iaitu isteri kepada suspek lelaki berumur 37 tahun yang ditahan di Jelutong, namun tiada sebarang rampasan dadah daripada mereka," katanya.

Mohmad berkata, siasatan mendapati, syabu itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum sebahagiannya diedar kepada rangkaian sindiket pengedaran dadah di Malaysia.

Manakala selebihnya akan diseludup ke negara jiran untuk pasaran di sana, tambahnya ketika bercakap pada satu sidang media di ibu pejabat polis kontinjen negeri di sini hari ini.

"Sindiket itu menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit dadah sebelum ia diseludup keluar berikutan negeri ini adalah lokasi strategik dan semua syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh lebih 1.5 juta penagih," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti dalang utama sindiket berkenaan dan berapa lama mereka, termasuk enam yang ditahan itu, telah beroperasi serta terlibat dalam kegiatan berkenaan.

"Susulan penahanan mereka, polis merampas sejumlah pelbagai mata wang dan seutas jam tangan Rado serta menyita sebuah kereta Proton Waja. Semuanya bernilai RM16,000," katanya.

Mohmad memberitahu, keenam-enam suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit ke­salahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati.

Katanya, seorang daripada enam suspek itu turut mempunyai rekod lampau .

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 38B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.