Kemampuan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberikan dividen tinggi bagi Simpanan Konvensional dan Shariah membuktikan ekonomi Malaysia berada di landasa betul, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Ramai yang jangka mungkin 5 peratus pun susah namun KWSP mampu memberikan pulangan tinggi disebalik situasi ekonomi global kini yang amat mencabar serta tidak menentu,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Kompleks Kastam Diraja Malaysia, Seberang Jaya pada Ahad.

KWSP pada Sabtu mengumumkan dividen 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.9 peratus bagi Simpanan Shariah.

BACA: Dividen KWSP turun 1.70 peratus

Katanya, kemampuan memberi dividen 6.15 peratus menunjukkan Malaysia sedang menjalani proses pemulihan ekonomi yang lebih baik berbanding negara jiran Singapura dan Thailand.

Dalam pada itu, Guan Eng secara sinis mempelawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memohon jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, berikutan tindakannya yang mengkritik kadar dividen yang diumumkan agensi itu.

“Sekarang ini dia (Najib) mahu jadi CEO KWSP pula. Kalau nak hentam semua, jangan hentam semberono.

“Jangan persoal profesionalisme CEO. Kalau tidak puas hati boleh buat permohonan jadi CEO KWSP,” katanya.

Najib dalam hantaran di Facebooknya semalam berkata, beliau bimbang apabila KWSP tidak lagi akan mengiktiraf sebarang rosot nilai ke atas pegangan ekuiti tersenarainya bermula 2018.

Katanya, tindakan itu dijangka akan memberi kesan kepada pendapatan KWSP untuk tahun-tahun akan datang jika nilai saham tidak pulih.

Selain itu, Guan Eng berkata, pemulihan ekonomi Malaysia turut ditunjukkan Indeks Keyakinan Pengguna dikeluarkan Nielsen, Malaysia yang menyaksikan negara ini mencatat peningkatan sebanyak 24 mata pada tahun ini kepada 118 mata berbanding 94 mata pada 2017.

Beliau berkata, negara memerlukan tempoh tertentu untuk memulihkan ekonomi yang mengalami 'kecacatan' berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).