Polis berjaya menyelesaikan kes samun melarikan tiga guni wang mengandungi lebih RM461,000 daripada van keselamatan di depan sebuah bank di Taman Sri Serdang, Selangor pada 24 Nov lalu.

Ia hasil penangkapan seorang lagi pekerja syarikat keselamatan terbabit yang berumur 26 tahun, dan seorang peniaga kedai runcit berumur 25 tahun, masing-masing di Senawang dan Jempol, Negeri Sembilan pada 28 dan 29 Nov lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata susulan serbuan dan tangkapan itu, polis menemui sebahagian wang rompakan.

"Hasil dari tangkapan ini, kita telah berjaya menemukan balik hasil wang rompakan di Serdang sebanyak RM106,900 yang dijumpai tersimpan di dalam sebuah kotak.

"Kedua-dua tangkapan yang kita buat ini telahpun diambil reman daripada 29 Nov hingga 6 Dis. Kami masih mencari dua lagi rakan-rakan pada tangkapan yang kedua ini yang dipercayai boleh membantu siasatan," katanya.

Mazlan berkata, dua suspek yang masih bebas dikenali sebagai Mohd Shamrul Shamsul Kahar, 30, dan Mohamad Azhar Mohamad Rawawi, 26.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, dua penjenayah yang memakai topi keledar melarikan beg duit berkenaan menggunakan motosikal jenis Yamaha 125Z.

Polis turut menahan reman empat pekerja syarikat keselamatan yang bertugas pada masa kejadian dan direman sehingga 30 Nov lepas.

Ketika kejadian, dua daripada pengawal berkenaan berada dalam bank bagi urusan pemindahan duit manakala dua lagi pengawal berada dalam van.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun.