Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa esok bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan.

Pengumuman pembubaran berkenaan dibuat di kediaman rasminya di Sri Gaya sebentar tadi selepas menerima perkenan daripada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri Sabah jam 2.30 petang.

"Untuk itu, saya bersama-sama Jemaah Menteri Sabah mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama, sokongan serta komitmen yang tinggi kepada kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.

"Atas segala usaha yang kita lakukan selama ini, dalam menunaikan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya yang lalu, kita turun padang dan menyantuni serta membantu rakyat di seluruh negeri, kita melaksanakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan untuk kepentingan rakyat.

"Sudah tentu menjadi harapan kita agar rakyat membuat pilihan secara bijak dan terbaik berdasarkan pencapaian, kejayaan dan track record yang membuktikan iltizam politik (political will) yang tinggi oleh Kerajaan Barisan Nasional selama ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar rakyat terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) menerusi mandat yang besar dalam PRU14 demi menjamin kesinambungan pembangunan serta menjayakan hala tuju negeri ini.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekitar jam 12 tengah hari tadi mengumumkan pembubaran Parlimen esok bagi membolehkan proses PRU14 bermula.

Pengumuman berkenaan dilakukan selepas Najib mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V.