Pakatan Harapan perlu melantik ketua ‘backbencher’ dalam masa terdekat bagi memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan yang hadir ke Dewan Rakyat sentiasa mencukupi.

Gesaan dikemukakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad susulan berlaku kejadian tidak cukup kuorum dalam Dewan Rakyat semalam.

“Maknanya, semua ahli-ahli Parlimen kerajaan yang backbenchers itu, kena ada satu ketua.

“Buat masa ini, cuma ada ketua whip bagi setiap parti. Jadi, ketua whip semua parti boleh duduk berbincang dan putuskan, atau melalui mesyuarat Majlis Presiden.

“Buat masa ini, saya syorkan semua ketua-ketua whip duduk berbincang dan putuskan sesama mereka sementara menunggu keputusan daripada Majlis Presiden,” ujarnya ketika ditemui media lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, backbenchers Pakatan Harapan telah bermesyuarat pada Selasa, namun belum terdapat sebarang keputusan berkenaan pelantikan ketua mereka.

Semalam, sesi petang Dewan tertangguh hampir enam minit apabila tidak cukup kuorum untuk memulakan mesyuarat.

Terdahulu dari itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menegur menteri dan timbalan menteri supaya memberi alasan yang kukuh sekiranya tidak dapat menghadiri sidang Dewan.